banner-about_0.jpg

June 13th, 2017

Selepas terpaksa berhenti kerja kilang akibat kegawatan ekonomi 11 tahun lalu, pasangan suami isteri dengan enam anak ini tinggal sehelai sepinggang disebabkan kehilangan mata pencarian sekeluarga.

Tidak  berputus asa, Sharifah, 44 dan suaminya, Mohd Zahid Ahmad, 54, menjual nasi lemak di kaki lima sekitar Desa Pandan, Kuala Lumpur dengan pendapatan hanya RM70 sehari.

Selepas mendengar cadangan daripada seorang pelanggan tetapnya, Sharifah memohon bantuan 1Azam (Akhiri Zaman Miskin) yang dikendalikan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan berjaya mendapat bantuan berupa pakej gorengan bernilai RM3,000.

“Pada 2012, 1Azam beri saya set lengkap barang gorengan seperti dapur, kuali, senduk, minyak, sos dan sebagainya. Jadi saya dapat tambah menu masakan panas seperti nasi goreng, mee goreng, tomyam dan bubur ayam dalam jualan saya,” kata Sharifah.

Melihatkan usahanya untuk menambahkan pendapatan berhasil, anak kelahiran Perlis itu menyewa pula sebuah kedai makan yang dinamakan ‘Gerai Cik Pah’.

Selain menu masakan campur yang semakin disukai pelanggan, nasi lemak Cik Pah juga berjaya mendapat tempahan sehingga seribu bungkus setiap hari.

Berkat usaha, kesabaran dan ketekunan wanita itu, beliau kini mampu meraih pendapatan bersih antara RM1,000 hingga RM2,000 sehari.
 

Kini, Sharifah juga sudah mampu menggaji 5 orang pekerja untuk menguruskan perniagaannya di gerai dan bazar Ramadan, bagi tempahan katering serta secara atas talian.

“Dengan pendapatan sekarang, saya mampu membiayai pendidikan anak-anak. Lebih membanggakan, tiga daripada mereka berjaya ke menara gading manakala anak sulung saya pula berjaya diterima bekerja di Bank Negara Malaysia,” tambah Sharifah.

Justeru itu, Sharifah menasihati golongan asnaf terutamanya agar memohon bantuan 1Azam kerana ia menyediakan bantuan dari segi peralatan perniagaan tanpa perlu membayar balik.

 “Uniknya bantuan ini, mereka beri kita peralatan lengkap untuk perniagaan berbanding bantuan lain yang menyalurkan modal berbentuk wang tunai dan mungkin disalahguna oleh penerima,” jelas Sharifah.

Beliau berterima kasih kepada kerajaan kerana menerusi 1Azam, keluarganya berjaya keluar dari kepompong kemiskinan.

Wanita ini memasang impian untuk membuka sebuah restoran bertaraf 5 bintang di masa depan.

Share in: