banner-about_0.jpg

June 13th, 2017

MUAR 12 MEI – Pepatah ada menyebut, melentur buluh biarlah daripada rebungnya, yang bermaksud hendak mengajar atau mendidik anak-anak biarlah ketika usia mereka masih kecil kerana apabila menginjak dewasa sukar untuk si anak menerima teguran atau didikan.

Begitu juga de­ngan perpaduan antara ma­syarakat majmuk di negara ini, jika dari awal lagi mereka sudah ‘dipisahkan’ antara satu kaum dengan yang lain, agak sukar untuk menyemai semangat berkenaan yang merupakan elemen terpenting dalam memupuk keharmonian di negara ini.

Simbol perpa­duan itu tidak hanya terangkum dalam konteks kepelbagaian kaum sahaja, malah dalam keluarga harus diutuhkan kerana zaman yang serba pantas dengan kemajuan teknologi kini sedikit sebanyak telah menggugat semangat kekeluargaan.

Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia, Mas’ood Idris berkata, tidak ada tempat yang lebih sesuai untuk memupuk perpaduan selain di sekolah rendah yang menjadi tempat murid-murid menimba ilmu, mengenali rakan-rakan, bermain bersama dan memahami budaya orang lain.

Menurutnya, Rukun Negara yang diperkenalkan sejak 1970 bertitik tolak daripada peristiwa hitam yang berlaku setahun sebelum itu bagi menyemai perpa­duan antara semua kaum kerana sekiranya masyarakat dapat me­laksanakan rukun yang pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, sudah tentu perpaduan boleh subur di negara ini.

"Tunjang perpaduan adalah di sekolah rendah. Kita dapat lihat Rukun Negara yang dilafazkan di sekolah pada setiap kali perhimpunan memberi kesan baik dan anak-anak di sekolah rendah tidak ada masalah dan mereka tidak ada sentimen pun.

“Tetapi, apabila mereka pergi ke sekolah menengah baru ada sentimen setelah kepalanya dimasukkan dengan pelbagai perkara, dia sudah ada pemikiran lain, benda-benda dan konsep lain yang ak­hirnya jadi susah nak bentuk perpaduan.

“Jadi, waktu bila lagi yang sesuai untuk menyemai semangat perpaduan kalau bukan di peringkat sekolah rendah, malah dahulu kita menyanyi lagu Muhibbah di sekolah yang menjadi alat perpaduan serta berjaya menyemarakkan semangat itu antara masyarakat pelbagai kaum,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Bakri Batu 5, di sini baru-baru ini.

Mas’ood berkata, cadangan pelbagai pihak mengenai sekolah satu aliran memang wajar disokong dan beliau secara peribadi turut bersetuju dengan usaha itu kerana pecahan aliran-aliran sekolah mengikut kaum sedikit sebanyak telah mengurangkan konsep bersatu padu rakyat di peringkat awal.

“Di sekolah rendah lagi mereka sudah terpisah dari segi aliran bahasa dan komuniti mereka sendiri, mana mungkin apabila meningkat dewasa baru kita nak terapkan perpaduan dalam diri mereka. Sebenarnya tidak salah sekolah satu aliran malahan ia lebih baik.

“Tetapi kita harus ingat bahasa-bahasa lain tidak boleh dilupakan, contohnya kita gunakan bahasa Melayu, ada juga bahasa-bahasa ibunda lain yang perlu diajar. Seperti di Indonesia yang bahasa standardnya bahasa Melayu tetapi mereka pandai berbahasa ibunda masing-masing dan kalau ini berlaku di peringkat sekolah rendah, pelajar belajar dalam satu bilik darjah yang sama, itulah asas untuk menghormati satu sama lain,” katanya.

Mas’ood yang juga Guru Besar SK Bakri Batu 5 berkata, penerapan elemen perpaduan dalam mata pelajaran sedia ada selain bergantung harap terhadap subjek Sejarah wajar dipertimbangkan kerana ia merupakan nilai tambah yang mampu menguatkan perpaduan dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, pihak kementerian boleh melihat bagaimana pembelajaran berkaitan kempen benci dadah, pendidikan jalan raya dan pengurusan kewangan yang diserapkan dalam mata pelajaran tertentu diaplikasikan juga untuk elemen perpaduan atau mengkaji untuk mewujudkan subjek khusus.

Mas’ood turut berharap program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) yang memberi tumpuan dalam pelbagai aktiviti termasuk sukan integrasi perlu diperkasakan seperti mula-mula dilaksana dahulu kerana biarpun program itu masih dijalankan namun rancangan itu kelihatan semakin suram di peringkat sekolah.

“Begitu juga kita pernah ada Sekolah Wawasan yang menggabungkan tiga aliran sekolah dalam satu kawasan yang menggunakan padang dan kantin yang sama, murid-murid pelbagai kaum menjadi amat rapat antara satu sama lain tetapi sekarang tidak lagi kelihatan sekolah seumpama itu.

“Sepatutnya ia dikembangkan ke kawasan lain sama seperti sekolah berprestasi tinggi yang bertambah setiap tahun, tetapi sekolah itu hanya memberi fokus kepada kecemerlangan dan bukannya perpaduan. Mengapa sekolah yang baik untuk perpaduan tidak diberi sepenuh perhatian sedangkan ia sudah memiliki kerangka dan cuma perlu menambah beberapa perkara baharu,” katanya.

Share in: