banner-about_0.jpg

Jun 14th, 2017

PEKAN, 12 Jun -- UDA Holdings Berhad dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) bakal menjalin kerjasama lebih erat dalam masa terdekat untuk kebaikan serta manfaat warga universiti dan masyarakat setempat.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah berkata jalinan kerjasama itu dimulakan dengan pemilikan tanah berkeluasan 207 hektar berhampiran UMP oleh UDA Holdings.

Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan tanah berkenaan, kawasan seluas kira-kira 59 hektar akan dibangunkan dengan pembinaan 1,500 unit rumah mampu milik menerusi pelaksanaan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

"Kawasan selebihnya pula akan dibangunkan dengan projek pembangunan bercampur antaranya melibatkan pembinaan rumah banglo dan semi D yang dirancang dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Projek ini apabila siap kelak akan memberi manfaat kepada warga UMP dalam mencari keselesaan dan kemudahan terutamanya tempat tinggal yang lebih dekat dengan tempat kerja," katanya.

Mohd Shafei berkata demikian semasa ditemui pemberita pada program Indahnya Ramadan UDA-UMP di UMP di sini, yang turut dihadiri Naib Canselor UMP Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim.

Terdahulu, UDA Holdings dan UMP menyediakan 3,000 bekas bubur lambuk yang diagihkan kepada penduduk, surau dan masjid sekitar kawasan Kuala Pahang, di sini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafei berkata penganjuran UDA Pekan Bridge Run 2017 pada 22 Julai, akan memperkenal kategori baharu 21 kilometer (km) bagi menarik penyertaan mereka yang gemarkan lebih cabaran.

Acara larian itu yang diperkenalkan buat julung kali pada tahun lalu, turut melibatkan kategori 3km dan 8km.

"Setakat ini, 5,000 peserta telah mendaftar untuk menyertai larian ini, dan kita turut menerima penyertaan bagi kategori antarabangsa. Kategori baharu 21km sudah pasti lebih menarik kerana peserta akan berlari sekitar Pekan dan dapat menikmati keindahan kampung yang ada di sepanjang perlumbaan," katanya.

Mohd Shafei juga menyifatkan penganjuran acara larian itu sebagai 'sokongan' UDA Holdings bersempena Tahun Melawat Pahang 2017 kerana bakal menarik kehadiran ramai pelancong ke Bandar Diraja Pahang itu.

-- BERNAMA

Share in: